Hikmah

Assalamualaikum,

Dalam al-Quran, Allah (swt) telah menegaskan bahawa pengutusan Nabi (saw) adalah hadiah terbesar daripada-Nya kepada umat manusia dan salah satu tugas baginda adalah untuk mengajarkan Hikmah kepada manusia:

لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ 
(Surah Ali Imran: 164) 
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatnya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka, serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.

Orang yang diberi Hikmah disifatkan dalam al-Quran al-Karim sebagai:

وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا
(Surah al-Baqarah: 169)
 Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak

Oleh kerana Allah (swt) mengaitkan hikmah dengan kebaikan yang banyak, maka para ilmuan mengatakan bahawa hikmah itu tidak bermaksud ilmu yang banyak semata-mata kerana tidak semestinya ilmu yang banyak boleh memberikan kebaikan yang banyak. Jadi, maksud hikmah yang sebenar adalah ilmu yang disertakan dengan amal kerana dengan amal lah baru kebaikan dari ilmu tersebut dapat diperoleh.

Ilmu dan amal ini apabila dipandu oleh ajaran-ajaran Islam dan dilaksanakan secara kolektif pasti akan dapat menghasilkan ketamadunan yang disegani umat-umat lain. Ini kerana ajaran Islam adalah ajaran yang diiktiraf dan diredhai oleh Allah (swt) sebagai ajaran yang terbaik. Oleh itu, ilmu dan amal berdasarkan ajaran Islam pasti akan menghasilkan umat yang terbaik di muka bumi ini.

Namun begitu, tersangatlah sedih apabila ramai dalam kalangan umat Islam sekarang yang tidak mahu berilmu dan beramal dengan ajaran Islam. 

Mansur - 3 Safar 1436


Tiada ulasan:

Catat Ulasan