Taqwa

Assalamualaikum,

Moga-moga kita semua telah beramal dengan unsur 'Hikmah' dan 'Tauhid' seperti yang saya tulis berdasarkan tulisan Maulana Saeed sebelum ini. Selain kedua-dua unsur ini, kegemilangan generasi awal Muslim juga disebabkan oleh unsur 'Taqwa' yang amat menebal dalam diri mereka. 

Apa itu Taqwa? Taqwa adalah menunaikan perkara yang diwajibkan oleh Allah (swt) dan meninggalkan perkara yang dilarang oleh-Nya. Suruhan dan larangan tersebut adalah sederhana dan tidak melampau batas keupayaan manusia serta bertujuan untuk membolehkan manusia mendapat keredhaan Allah (swt).

Allah (swt) meletakkan suruhan dan larangan dalam kehidupan manusia kerana keupayaan manusia untuk bertindak dengan betul dan sederhana dalam semua keadaan adalah terbatasUntuk menghayati keindahan unsur Taqwa ini, mari kita tengok bagaimana 'suruhan dan larangan' mengawal sifat nafsu (atau keinginan) dan kemarahan (kedua-dua sifat selalu menyebabkan kerosakan dalam kehidupan manusia):
  • Nafsu (atau keinginan) menyeru manusia untuk memperoleh segala sesuatu yang dicintai mereka. Tanpa panduan yang benar, manusia boleh merosakkan dunia dengan keinginan melampau mereka. Untuk mengelak kerosakan dunia dari kerakusan nafsu yang tebal tersebut, Islam mengajar umatnya (dengan alasan yang kukuh) apa yang sebenarnya patut diingini, apa cara yang sah untuk mencapainya dan apa had yang munasabah dalam usaha untuk meperoleh keinginan tersebut.
  • Kemarahan menyeru manusia untuk menghindari segala sesuatu yang berbahaya dan melindungi martabat kehidupan mereka. Tanpa panduan yang benar, manusia boleh merosakkan dunia dengan kemarahan mereka yang meluap-luap. Untuk mengelak kerosakan dunia dari bahana kemarahan tersebut, Islam mengajar umatnya apa sebenarnya perkara yang berbahaya kepada manusia dan sejauh mana ianya berbahaya, apa cara yang munasabah untuk mepertahankan diri dari bahaya tersebut dan apa cara yang betul untuk menjauhkan diri daripada segala bahaya.
Oleh itu, jelaslah bahawa taqwa dapat membendung manusia daripada membuat kerosakan di dunia yang berpunca daripada perangai-perangai teruk manusia seperti keinginan yang melampau, kemarahan yang tidak berbatasan, berat sebelah (yang berpunca daripada berlainan warna kulit, bangsa, agama, status sosial dan kekayaan)mementingkan diri sendiri, takabbur, 'ujub dan dengki. Dengan penyingkiran perangai-perangai teruk tersebut daripada perlakuan individu dan masyarakat, sesuatu umat itu pasti akan mencapai suatu susunan sosial yang baik dan dapat merasai kehidupan yang damai dan mesra. Akhir kalam, Allah (swt) telah memuji umat Islam:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللّهِ 

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)
(Surah Ali-Imran: 110)

Mansur - 22 Safar 1436


   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan